Dari wartawan menjadi kartunis Lat

Selaku wartawan, Lat merayau-rayau di jalan-jalan ibu kota pada 1970-an (bangunan-bangunan dalam gambar ini adalah dari zaman itu), jauh berbeza dengan suasana kampung.

Setelah berpindah ke ibu kota Kuala Lumpur, Lat memohon jawatan kartunis di Berita Harian. Beliau dimaklumkan bahawa kekosongannya tiada, tetapi penyunting akhbar itu, Abdul Samad Ismail, menawarkannya jawatan wartawan jenayah.[5] Lat menerimanya dalam keputusan yang dijelaskannya sebagai tindakan yang terpaksa dibuatnya, bukan keinginannya: "Ini ialah persoalan ikhtiar hidup. Saya terpaksa mencari rezeki untuk membantu menampung keluarga saya."[2] Ketika itu, bapa Lat sudah jatuh sakit tenat dan tidak dapat bekerja, maka terpaksalah Lat menjadi pencari nafkah keluarga.[25] Selain menerima kerja itu, beliau terus menyumbangkan kartun kepada terbitan-terbitan lain.[5] Kemudian, Lat dipindahkan ke terbitan induk Berita Minggu, New Straits Times.[26][nb 3] Kerja bersiar-siar di seluruh kota untuk melaporkan jenayah memberikan peluang kepada Lat untuk memerhati dan berinteraksi dengan beraneka ragam warga kota yang dijadikan ilham dan bahan baru untuk kartun-kartun akan datang di samping meningkatkan pengetahuan dunianya.[5] Walaupun begitu, beliau merasa dirinya tidak memiliki sifat ingin tahu berterusan yang diperlukan untuk berjaya sebagai wartawan jenayah.[28] Lebih-lebih lagi, huraian beliau terhadap kesan jenayah yang "terperinci luar biasa dan mengerikan" acapkali terpaksa dilembutkan oleh orang-orang atasannya.[29] Oleh itu, Lat berasa pasti bahawa beliau gagal menjalankan tugas sebagai wartawan jenayah, sehingga beliau berasa mahu putus asa dan meletak jawatan. Samad menolak surat permohonan letak jawatannya dengan rasa marah kerana percaya bahawa Lat ada masa depan yang cerah dengan akhbarnya.[30]

Nasib Lat berubah pada 10 Februari 1974, apabila majalah Asia Magazine yang bertapak di Hong Kong menyiarkan kartun-kartunnya mengenai Bersunat.[2][31][32] Kartun-kartun itu mengagumkan Tan Sri Lee Siew Yee, ketua penyunting New Straits Times,[33] yang melihat gambaran Lat terhadap upacara itu sebagai kelakar tetapi sensitif, lalu bersungut bahawa akhbarnya sepatutnya mengambil kerja seniman itu. Beliau terkesima apabila diberitahu bahawa Lat sudah pun bekerja dalam pertubuhannya.[13] Lat dipanggil ke pejabat Lee untuk berbual, dan oleh inilahnama beliau makin dijulang dalam syarikat itu. Maka beliau menjadi kartunis ruangan akhbar yang mengisi jawatan yang dibentuk khusus untuknya oleh Samad yang ketika ini menjadi timbalan penyunting New Straits Times.[34][35] Tugas pertamanya adalah merakamkan kebudayaan Malaysia dalam siri kartun Scenes of Malaysian Life.[36] Pihak akhbar juga menghantarnya ke London untuk menelaah di Sekolah Seni St Martin selama empat bulan,[37] di mana beliau mengenali kartun editorial dan akhbar Inggeris. Setelah pulang ke tanah air dengan rasa penuh terpesona dengan pengalamannya, Lat mengubah Scenes of Malaysian Life menjadi siri kartun editorial. Pendekatannya terbukti disambut ramai, maka pada akhir tahun 1975, beliau dilantik sebagai kartunis sepenuh masa yang bebas berkarya sepenuhnya.[38]

Lat menghasilkan kartun-kartun editorial tanpa henti yang menghiburkan masyarakat Malaysia. Pada tahun 1978, dua himpunan karyanya (Lots of Lat dan Lat's Lot) telah dipasarkan kepada orang ramai. Meskipun Lat sudah dikenali warga Malaysia kerana Scenes of Malaysian Life, namun setelah mengeluarkan karya seterusnya barulah beliau mengecapi kesedaran kebangsaan dan pengiktirafan antarabangsa.[22][28] Pada tahun 1979, Berita Publishing Sendirian Berhad menerbitkan Kampung Boy, kartun autobiografi yang dilukis oleh Lat sendiri tentang zaman mudanya. Buku ini mendapat sambutan hangat; menurut Lat sendiri, cetakan pertama sebanyak 60,000–70,000 salinan dijual habis dalam masa empat bulan selepas keluar di pasaran.[5] Para pembaca buku itu tertawan oleh gambaran kehidupan luar bandar yang "mengharukan",[39]dipaparkan dengan "lakaran hitam putih yang kecoreng-corengan" dan disertakan "prosa yang ringkas tetapi penuh makna".[40] Setakat tahun 2009, buku ini telah dicetak semula 16 kali[nb 4] dan diterbitkan di beberapa buah negara lain dalam pelbagai bahasa, termasuk Perancis, Portugis dan Jepun.[23][41] Kejayaan Kampung Boy menjulang nama Lat sebagai "kartunis paling masyhur di Malaysia."[22]

Rujukan

WikiPedia: Lat http://www.asiaone.com/News/AsiaOne+News/Malaysia/... http://www.asiaone.com/News/Latest+News/Showbiz/St... http://www.asiaone.com/print/News/Latest+News/Show... http://books.google.com/books?id=1sVP1HbUno4C http://books.google.com/books?id=1sVP1HbUno4C&pg=P... http://books.google.com/books?id=CdoK7S3o4U8C http://books.google.com/books?id=CdoK7S3o4U8C&pg=P... http://books.google.com/books?id=DgCAQXoMQ3kC http://books.google.com/books?id=DgCAQXoMQ3kC&pg=P... http://books.google.com/books?id=IhrwflT-koMC